Hubungan ibu bapa guru dan pelajar tentukan kemajuan

HULU TERENGGANU: Perhubungan baik antara ibu bapa, guru-guru dan pelajar asset terpenting maju atau mundur pencapaian akademik atau akhlak sesebuah sekolah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang Dr. Haji Mamad Puteh. Beliau berkata di Majlis Perjumpaan Ibu Bapa Dan Perasmian Jawatankuasa Pemandu Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kuala Berang disini baru-baru ini.

Katanya, pelajar yang cerdas, guru yang bertanggung jawab serta ibu bapa yang ada kesungguhan perlu digembelingkan untuk mencernakan pencapaian terbaik itu. Selain itu sokongan perlu diberikan kepada mana-mana pelajar yang kurang cerdas, meningkatkan komitmen dikalangan guru serta bantu semua ibu bapa supaya ia dapat menjurus kepada kemajuan yang boleh dibanggakan oleh sekolah.
Haji Mamad yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Agama Mahmudiah menegaskan walaupun SRAB baru ditubuhkan dan banyak pula masalah tetap diyakini akan menjadi sebuah institusi yang maju dan disegani. "Saya bagi pehak pengerusi PIBG mengucapkan terima kasih atas sokongan ibu bapa guru dan juga Pejabat Agama kerana sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kita untuk melahirkan pelajar yang terbaik," katanya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksaan Syariah Haji Harun Taib, Ketua Penolong Pesuruhjaya Pendidikan Jusoh Embong, Pengetua Sekolah Agama Mahmudiah Abdul Halim Salleh hadir di majlis ini. Pegawai Agama Daerah Zulkifli Othman, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu SRAB Haji Abd. Wahab Mamat dan ibu bapa pelajar turut hadir di majlis itu.

0 comments:

Post a Comment