Merangsang Kuasa Sukses dengan Tahun Baru

Sebenarnya, tiada ada yang ajaibnya dengan kedatangan tahun baru. 1 Januari tidaklah menjadikan seorang pengemis menjadi jutawan, atau seorang penagih dadah menjadi warak, atau seorang bankrup menjadi kaya, atau seorang jahil menjadi alim. Ia adalah permulaan kepada perkiraan 365 hari bumi mengelilingi matahari pada orbitnya. Setiap kali bumi melengkapkan pusingan tersebut, maka berlaku beberapa keadaan seperti musim panas, salji, bunga, gugur, beberapa jenis monsun, dan bermacam lagi.


Manusia hari ini menggunakan sejenis kalendar untuk mengira peredaraan tersebut, kalendar Masehi, yang menggunakan sistem kalendar solar. Banyak urusan hidup kita terkesan dengan kiraan ini; bayaran gaji, permulaan persekolahan, kiraan umur (tadika, sekolah, PMR, SPM, kenaikan pangkat, pencen, dsb). Perancangan jabatan kerajaan, korporat, mahupun NGO biasanya berdasarkan kepada kalendar ini. KWSP, Lembaga Hasil, roadtax, insuran hayat, insuran kereta, bil telefon, bil letrik, dan lain-lain; kebanyakannya berdasarkan kepada kalendar Masehi.

Makanya, perancangan peribadi juga akan terkesan dengan kalendar Masehi.

Buat sambutan? Tak perlu. Cukuplah dengan ‘buat perancangan’. Tetapkan azam? Tidak seperti yang ramai maksudkan. Yang penting, tetapkan sasaran yang tepat dan berkesan. Sasaran yang terperinci, mempunyai tempoh, dan juga anda tahu jika anda sudah berjaya mencapainya. Tetapkan ‘indeks’ yang jelas untuk setiap sasaran. Ada indeks akhir, dan indeks proses.

Saya berikan anda contoh. Pada tahun 2010, Zamrin mahu menulis 5 buah buku.Maka indeks akhir ialah: 5 buah buku saya terbit sebelum 31 Disember 2010. Itu namanya ‘Indeks Akhir’. Kemudian, dia perlu tetapkan samada 5 buah itu diterbitkan sekaligus atau satu persatu. Jikalau satu persatu, maka berapa bulan sekali buku itu diterbitkan? Ini dinamakan ‘Sub Indeks Akhir’. Contohnya; Sebuah buku pada Mac, Jun, Ogos, Oktober dan Disember.

Bagaimana pula dengan indeks proses? Ia adalah indeks untuk memastikan kita berdisiplin dalam mencapai sasaran tersebut. Berapa muksurat Zamrin perlu taip setiap minggu? setiap bulan? setiap hari? Berapa buah buku dia perlu baca seminggu? Berapa orang dia perlu temuramah? Dan bermacam lagi komitmen yang dia perlu lakukan; samada setiap hari, minggu, bulanan, dan dalam bentuk yang lain.

Perlukah menunggu 1 Januari untuk buat semua itu? Sudah pasti tidak perlu. Tetapi memandangkan 1 Januari sedang hampir, ia adalah alasan yang baik untuk melakukannya. Anda masih tetap boleh melakukannya pada 5hb, 13hb, 29hb- tidak kira Januari, Mac, September, mahupun Syaaban.

Semoga kebaikan bersama anda semua pada tahun mendatang. Salam sukses selalu.

0 comments:

Post a Comment