Guru umpama penyuluh sinar terang

GURU adalah ejen kepada keberkesanan pendidikan sesebuah negara. Betapa baik sistem pendidikan sekali pun, jika ejen yang menyampaikannya tidak efektif, ia tidak akan mencapai matlamat pembangunan dan kesempurnaan insan.

Peranan guru juga mendidik adab kehidupan insan di dunia ini. Adab adalah unsur utama yang amat penting dalam kehidupan manusia, baik sebagai masyarakat, mahu pun kehidupan peribadi seseorang insan. Guru juga pembina negara bangsa.


Guru memainkan peranan penting di sekolah sebagai institusi masyarakat yang dibina dengan tujuan membangunkan rakyat dan negara. Selain itu, guru memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar dan tujuan pendidikan.

Guru berupaya mendidik akal budi, penyucian jiwa, istiqamah, harga diri, jujur dan setia, berhati lembut dan rendah diri, tabah dan sabar serta pendidikan nilai murni dan moral di kalangan pelajar. Dalam usaha membina minda dan jiwa cemerlang, guru yang memainkan peranan kepada pelajar dan remaja di sekolah bagi mengukuhkan jati diri sebagai generasi pemimpin pada masa depan.

Peranan guru amat penting dalam pendidikan kanak-kanak dan remaja. Dalam hal ini, guru dapat mendidik akhlak dengan amalan yang baik bagi timbangan kebaikan di akhirat kelak. Sesungguhnya, Rasullullah menyebut dalam hadisnya yang bermaksud: “Apa yang diletakkan di atas timbangan orang mukmin tidak ada yang lebih berat daripada akhlak mulia kerana sesungguhnya bagi orang yang mempunyai akhlak mulia akan dapat membawanya ke darjat puasa dan sembahyang.”
(Riwayat al-Tarmizi).

0 comments:

Post a Comment